Sunday, April 11, 2010

Intisari Ayat Tilawah Akhir Peringkat Daerah Besut 1431H/2010M

INTISARI : PERTAMA

SURAH LUQMAN : AYAT 12 JUZUK 21

INTISARI AYAT:-

Allah s.w.t memerintahkan kepada semua umat Islam supaya mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakanNya.

Allah melarang manusia mensyirikkanNya kerana ia merupakan sebesar-besar dosa yang tidak akan diampun oleh Allah s.w.t.

Selari dari itu kita diperintah supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan mematuhi segala suruhan mereka, selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah s.w.t.

Seterusnya kita hendaklah sentiasa mendirikan ‘Ibadah Sembahyang dan bersabar di atas segala ujian dan percubaan dari Allah s.w.t.

Kita dilarang bersifat angkuh dan sombong semsa berada di muka bumi ini kerana semuanya akan berakhir dengan kematian dan akan dikembalikan kepada Allah s.w.t.


INTISARI : KEDUA

SURAH AL-NAMLI : AYAT 15 JUZUK 19

INTISARI AYAT:-

Di antara intisari ayat yang telah diperdengarkan kepada kita itu tadi, Allah subhanahu wa ta’ala telah menceritakan kisah Nabi Daud ‘alaihissalam dan Nabi Sulaiman ‘alaihissalam iaitu:-

Allah telah mengurniakan kepada Daud dan anaknya Sulaiman akan ilmu pengetahuan yang bermacam-macam jenisnya. Allah telah mengajar Nabi Daud ‘alaihissalam bagaimana caranya membuat baju besi untuk menjadi perisai dan penahan tubuhnya dari ditembusi oleh alat senjata yang tajam dalam peperangan.

Allah subhanahu wa ta’ala juga mengajarkan Sulaiman bagaimana dia bertutur kata dan bercakap dengan bahasa-bahasa yang diucapkan oleh burung-burung dan binatang-binatang. Begitu pula, dia tahu semasa gunung-ganang dan makhluk-makhluk yang lain bertasbih memuji kebesaran Allah, yang mana pengetahuan seperti itu tidak pernah Allah berikan kepada seseorangpun sebelum itu.

Oleh sebab itulah Nabi Daud dan Sulaiman kedua-duanya telah mengucapkan syukur kepada Allah subahnahu wa ta’ala di atas kurniaan-kurniaan tersebut. Ayat-ayat ini mengisyaratkan tentang betapa perlunya kita mensyukuri nikmat dan kelebihan yang dianugerahi oleh Allah subhanahu wa ta’ala serta menyatakan kelebihan ilmu pengetahuan dan kemuliaan orang yang memiliki ilmu pengetahuan. Dengan perkara tersebut akan menjadikan kita lebih cemerlang.


INTISARI : KETIGA

SURAH AL-ISRAK : AYAT 9 JUZUK 15

INTISARI AYAT:-

Al-Quran merupakan semulia-mulia kitab suci yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. Ianya memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Selain dituntut membacanya, kita disuruh supaya memahami isi kandungannya dan seterusnya mengamalkan di dalam kehidupan seharian.

Bagi sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t. maka beruntunglah mereka di dunia dan di akhirat kelak.

Sebaliknya mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah s.w.t maka mereka itulah orang-orang yang ditimpa kerugian dan dijauhi dari rahmat Allah s.w.t.


INTISARI : KEEMPAT

SURAH ALI-IMRAN : AYAT 133 JUZUK 4

INTISARI AYAT:-

Allah s.w.t. telah memerintahkan manusia supaya berlumba-lumba dalam mengerjakan amalan kebaikan dan bersegera untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. semoga mendapat keampunan dan keredhaanNya.

Bagi orang-orang yang mengharapkan keampunan dan syurga Allah s.w.t. hendaklah sentiasa menjadi orang-orang yang bertaqwa dan memiliki sifat-sifat terpuji seperti suka mendermakan daripada hartanya sama ada pada waktu senang atau susah serta menahan kemarahan dan suka memaafkan kesalahan orang lain, di samping apabila mereka telah melakukan perbuatan yang keji, mereka bersegera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.

Sifat-sifat tersebut adalah di antara ciri-ciri Insan Cemerlang.

Sesunguhnya orang-orang inilah yang dikasihi Allah s.w.t. dan syurga sebagai balasannya.


INTISARI : KELIMA

SURAH ALI-IMRAN : AYAT 102 JUZUK 4

INTISARI AYAT:-

Allah s.w.t. memerintah kepada semua orang yang beriman supaya bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kita mati melainkan dalam keadaan Islam. Allah s.w.t. juga menjelaskan supaya umat Islam berpegang teguh dengan Agama Allah dan jangan ada di antara kita berpecah-belah serta hidup bersatu padu. Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara.

Allah s.w.t. telah memerintahkan umat Islam supaya menjadi umat yang bertanggungjawab dengan menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan mencegah daripada berbuat kejahatan mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Allah s.w.t. telah memuji umat Islam sebagai “Khaira Ummah” iaitu sebaik-baik umat. Ini adalah kerana umat Islam ada yang menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan dan mencegah dari melakukan kejahatan, serta mereka beriman dengan sebenar-benar Iman kepada Allah. Di mana umat lain telah tenggelam dalam kejahatan, yang tidak ada antara mereka yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari kejahatan serta mereka tidak beriman kepada Allah.

Percayalah kebaikan Umat Islam adalah bergantung kepada Tiga Prinsip:


Pertama : Menyuruh berbuat kebaikan

Kedua : Menegah dari melakukan kemungkaran dan kejahatan

Ketiga : Percaya hanya kepada Allah Tuhan Yang Esa


Dengan demikian, barulah Umat Islam menjadi Ummah Terbilang. Ingatlah! Sekiranya ketiga-tiga prinsip ini ditinggalkan sudah pasti tiada lagi kebaikan kepada umat tersebut.


INTISARI : KEENAM

SURAH AL-MUJADALAH : AYAT 9 JUZUK 28

INTISARI AYAT:-

Dalam ayat yang dibacakan tadi Allah Taala memerintahkan orang-orang yang beriman supaya menjaga adab-adab majlis iaitu melapangkan tempat duduk kepada tetamu dan teman yang baru datang, sama ada dalam majlis keraian, persidangan mahupun perjumpaan. Ini untuk mendapat keselesaan dan dengan perasaan yang lapang.

Allah menjamin kepada setiap orang mukmin yang berusaha memberi kelapangan kepada hambaNya yang lain dalam perkara kebaikan dan kemudahan, nescaya dilapangkan pula urusan dunianya dan akhiratnya. Jelasnya manusia akan dilimpahi rahmatNya dan diluaskan rezekinya. Apabila diumumkan majlis bersurai hendaklah dituruti dan meninggalkan majlis tersebut mengikut adab-adabnya.

Seterusnya Allah akan meninggikan darjah orang-orang mukmin lantaran mereka mematuhi perintah Allah dan RasulNya. Begitu pula orang-orang yang berilmu ditinggikan darjatnya bukan sahaja di dunia malahan di akhirat juga. Oleh sebab itulah kaum muslimin digesa agar menuntut ilmu walau di mana jua.


INTISARI : KETUJUH

SURAH AL-HUJURAT : AYAT 10 JUZUK 26

INTISARI AYAT:-

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Allah s.w.t. melarang umat Islam dari mengejek, mencerca, mengeji dan mengumpat serta mengintip kesalahan orang lain. Begitu juga dilarang membuat prasangka buruk dengan tohmahan dan khianat sesama manusia supaya manusia tidak terburu nafsu, membuat sangkaan buruk tentang sesuatu terhadap seseorang secara sebarangan. Sebaliknya diperiksa dan dipastikan terlebih dahulu. Sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu mengandungi dosa menyebabkan orang-orang melakukan diseksa oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Seterusnya Allah menyarankan bahawa sekelian manusia itu asalnya dijadikan dari bapa yang satu, iaitu Adam dan isterinya Hawa. Kemudian dari kedua-duanya Allah menjadikan pula berbagai-bagai bangsa dan suku-suku. Yang demikian tidaklah patut manusia itu bermegah-megah di antara satu dengan lain disebabkan keturunan, kebangsawanan dan pangkatnya, kerana manusia semuanya dari tanah dan kepada tanah kita akan dikembalikan.

Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk berkenal-kenalan dan untuk mengeratkan persefahaman agar tercipta ketenteraman dan kedamaian. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu. Dengan demikian menjadilah kita cemerlang di dunia dan akhirat.


INTISARI : KELAPAN

SURAH AL-MUKMINUM : AYAT 1 JUZUK 18

INTISARI AYAT:-

Allah s.w.t. telah menyatakan bahawasanya orang-oarang yang beriman akan beroleh kemenangan. Oleh itu mereka mestilah mempunyai ciri-ciri yang berikut, untuk menjadi Insan Cemerlang dan Menjana Ummah Gemilang.

Pertama : Orang yang khusyuk dan memelihara sembahyangnya.

Kedua : Orang yang tidak mensia-siakan kehidupannya dan peluang

yang diberikan semasa di dunia ini dengan melakukan

berbagai amal kebajikan sebagai bekalan.

Ketiga : Orang yang menjaga kehormatan dan maruah mereka
daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh

Agama Islam seperti mencuri, membunuh, berzina, membuat

fitnah dan lain-lain.

Keempat : Orang yang apabila diamanahkan sesuatu kepadanya ia

memelihara dan menjaga amanah tersebut dengan baik.

Sesungguhnya mereka inilah yang akan memperolehi ganjaran syurga Firdaus sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak.




No comments:

Post a Comment